KEADILAN UNDANG-UNDANG

Islam menegakkan keadilan undang-undangnya di mana perlaksanaannya adalah melalui badan kehakiman dan penguat-kuasaan yang dikawal oleh aspek lahiriah dan rohaniah. Keadilan undang-undang bukan sahaja dikawal oleh aspek lahiriah tetapi dikawal oleh akidah dan iman kepada Allah dan hari akhirat.

Undang-undang Islam adalah menepati naluri manusia. Dalam perkara diluar kemampuan akal maka hukumannya ditegaskan secara nas, manakala yang lain daripadanya diizinkan kepada mereka yang layak dengan sifat keilmuan dan keluhuran akhlak untuk berijtihad. Undang-undang Islam tidak sekadar menitikberatkan hukumannya didunia sahaja, tetapi mereka yang tidak dihukum di dunia akan dihukum juga selepas meninggal dunia samada di dalam kubur atau setelah dihidupkan semula seadil-adilnya. Allah Subhanahu wa Taala menggalakkan hamba-Nya bertaubat sebelum diketahui oleh pihak yang berkenaan. Mereka juga digalakkan memaaf dalam perkara tertentu. Undang-undang keterangannya pula terlalu ketat. Makin keras hukumannya makin ketat pula syarat-syaratnya, seperti memerlukan empat saksi yang adil dalam perkara zina. Orang yang mengaku bersalah pula mestilah mengaku secara sukarela. Pengakuan orang yang dipaksa, dan dibelasah sehingga lebam tidak sah.

Mereka yang dilantik menjadi hakim bukan sahaja mempunyai kelulusan undang-undang dan mampu mentadbir serta mengendalikan pengadilan. Mereka juga mestilah mempunyai akhlak yang mulia terhadap Allah dan makhluknya. Pihak kerajaan hendaklah meletakkan hakim dalam suasana yang menyenangkan, sehingga proses keadilan tidak diganggu oleh manusia dan keadaan sekeliling. Para hakim diberi amaran yang keras oleh agama.

0 Comments:

Post a Comment