SEDARLAH WAHAI PEMUDA


Wahai pemuda,

Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah bersama orang yang bertaqwa. Dan bersyukurlah diatas nikmat Allah yang paling besar lagi tidak terhingga nilainya. Nikmat berada di atas jalanNya yang benar. Jalan para Nabi dan Rasul Allah. Kita berada di dalam nikmat Islam dengan pilihan Allah. Sesiapa yang menolaknya maka padahlah hidupnya dan akan rugilah dia di akhirat kelak. Allah berfirman yang bermaksud ;

“Barang siapa yang mencari selain Islam sebagai Deen (sistem hidup) maka ia tidak diterima dan dia di akhirat kelak bersama mereka yang rugi.” (Ali Imran, 3:83)

Yakinlah wahai pemuda,

Islam sebagai Deen yang benar menjanjikan keselamatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Mereka yang beriman dan mengambil Islam sebagai sistem hidup sentiasa dicuba oleh musuh-musuh mereka untuk menyekat dan memperdaya penganut-penganut Islam supaya tidak kuat pegangan mereka terhadap Islam. Dan tidak bulat keyakinan mereka dengan janji-janji Allah di akhirat kelak. Hakikat ini telah jelaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud;

“ Mereka (musuh-musuh Allah) berusaha untuk memadam cahaya Allah(Deen Allah) dengan mulut-mulut mereka (diayah-diayah mereka) dan Allah tidak rela kecuali menyempurnakan cahaya Islam walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”
(AtTaubah, 9:32; As-Sof, 61:8)

Usaha memadamkan cahaya Allah telah berlaku sepanjang sejarah hidup manusia di atas muka bumi ini sejak nabi-nabi dan rasul-rasul dahulu kala lagi hingga ke zaman Baginda Rasulullah SAW, di zaman Khulafah Ar-Rashidin hingga sekarang dan akan terus dicuba dan ditentang hingga datang Qiamat. Firman Allah dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud;

“Sebahagian besar Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) sungguh ingin dapat mengembalikan kamu kepada kekufuran setelah kamu beriman kerana timbul rasa hasad dengki dari dalam hati mereka setelah jelas kepada mereka kebenaran.” (Al-Baqarah, 2:109)

Ini adalah persaksian Allah tentang sikap permusuhan orang-orang kafir terhadap orang Islam, tidak kira apa juga kedudukan mereka sama ada Yahudi atau Nasrani atau Majusi atau Hinduni dan sebagainya. Sabda Rasulullah yang bermaksud “ Kekufuran itu satu pegangan”

Ingatlah wahai pemuda,

Salah seorang bekas Perdana menteri British ada membuat satu kenyataan katanya;
“Barat sekali-kali tidak dapat menguasai timur dan barat sendiri tidak akan aman selagi mana Al-Quran berada di tangan orang –orang Islam”.

Kenyataan yang sama dibuat oleh Pesuruhjaya Perancis di Algeria di bawah jajahan mereka;
“kita tidak akan menang dalam peperangan menentang orang-orang Algeria selagimana mereka membaca Al-Quran Al-Karim dan bercakap dengan bahasa Arab. Oleh itu kita perlu hapuskan AlQuran daripada kehidupan mereka dan hapuskan bahasa Arab dari menjadi bahasa mereka.”

Maksud mereka ”menghapuskan Al-Quran daripada kehidupan orang Algeria”, bukanlah menghapuskan naskhah Al-Quran yang mereka baca tetapi menghapuskan roh Al-Quran di dalam kehidupan mereka. Menghapuskan Al-Quran daripada menjadi manhaj hayah (cara hidup) mereka.

Dalam satu peristiwa lain, seorang ketua gerakan Kristian dalam satu persidangan di Baitul Maqdis satu ketika dahulu menyampaikan amanah kepada pendakwah Kristian sebagai berkata;

“Peranan kamu bukanlah hendak mengkristiankan orang-orang Islam tetapi ialah mengeluarkan mereka daripada Islam supaya menjadi makhluk yang tidak ada hubungan dengan Allah dan tidak berakhlaq.”

Begitu kenyataan pemimpin Kristian di Timur yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar Komunis katanya; “ Mustahil komunis boleh berkuasa sebelum Islam dapat diganyang habis-habisan.” Buktinya apa yang dilakukan oleh Komunis Rusia di Negara Balkan sekarang ini.

Peganglah wahai pemuda,

Pertelagahan antara haq dengan batil adalah menjadi sunnah hidup manusia di alam duniawi ini. Kebatilan dan kekufuran tidak senang dengan kebenaran yang dibawa oleh Islam, Deen Allah melalui Rasul-rasul Allah dan berakhir dengan Baginda Rasulullah SAW. Firman Allah dalam surah Al-Hijr ayat 39-40 yang bermaksud;

“Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku telah sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) dimuka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka".

Inilah pengakuan Iblis di hadapan Allah SWT yang ia akan tetap akan mengeluarkan dan menyesatkan manusia di muka bumi ini.

Allah SWT memperingatkan kita supaya berjaga-jaga jangan cuba terpengaruh dan ikut cara hidup orang-orang kafir nanti kita akan ditimpa kerugian yang besar.

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 149 yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman jika kamu mentaati orang kafir mereka akan mengembalikan kamu kepada kekufuran dan kamu akan kembali rugi”.

Sedarlah wahai pemuda,

Musuh–musuh Islam telah menggunakan berbagai-bagai taktik dan cara dalam usaha mereka untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menyerang islam dan umatnya dengan alat senjata dan askar-askar, pemikiran dan ideologi serta akhlaq dan kebudayaan. Semua bentuk serangan yang tersebut telah mendatangkan kemenangan kepada mereka. Umat Islam kalah di dalam peperangan bersenjata, kalah di dalam peperangan pemikiran dan ideologi dan kalah dalam serangan akhlaq dan kebudayaan. Tengoklah kepada realiti yang berlaku di negara-negara Islam. Mereka diserang dan dijajah baik dengan kekuatan tentera atau kekuatan ekonomi atau kekuatan media elektronik dan sebagainya.

Perhatikanlah cara hidup muda-mudi Islam hari ini malah majoriti orang-orang islam telah terikut-ikut dengan cara hidup musuh-musuh Islam tanpa di sedari seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, gaya hidup dan pemerintahan dan sebagainya seperti yang dianjurkan oleh musuh-musuh Islam. Nauzubillahminzalik.

Bangunlah wahai pemuda,

Musuh-musuh Islam memang bekerjasama sesama mereka untuk menumpaskan umat Islam dengan berbagai taktik dan tipu helah. Secara keras atau secara halus asalkan mereka dapat sampai kepada matlamat mereka iaitu menghancurkan umat Islam dan menghalang mereka daripada memerintah dan memimpin manusia ke arah keredaan Allah SWT . Oleh itu kita umat Islam perlu sedar dan berjaga-jaga dan perlu mengambil iktibar daripada pengalaman yang silam agar kita tidak terperangkap berkali-kali di dalam perangkap musuh dan sepatutnya orang orang mukmin tidak dipagut di dalam lubang yang sama dua kali (pepatah arab). Orang-orang mukmin perlu memiliki kekuatan dalam berbagai bidang bagi melayakkan mereka memimpin dan sekali gus menyelamatkan manusia sejagat daripada terus berada di dalam kesesatan di bawah pimpinan jahiliyah yang penuh dengan angkara kezaliman di serata pelusuk dunia. Sanggupkah kita melihat umat Islam diburu, dibunuh, dihalau, diperkosa dan berbagai-bagai lagi kekejaman yang dilakukan oleh musuh Islam seperti di Bosnia, Palestin, Kashmir, Somalia, Burma, Sri Lanka dan lain lain negara yang minoritinya orang-orang Islam? Umat Islam perlu membina kekuatan mengatasi kekuatan musuh di segi ilmu pengetahuan, perancangan, dan peradaban demi mengembalikan kepimpinan dan khilafah ke tangan umat Islam sendiri.

"Ya Allah! Kami memohon pertolongan dariMu agar kami tetap dalam melaksanakan perintahMu. Dan kami memohon pertolongan dariMu untuk menghadapi musuh-musuh kami sehingga Islam tertegak di atas mukabumiMu. Kurniakanlah kesedaran kepada kami tentang tanggungjawab kami dan kebijaksanaan dalam menguruskannya serta kurniakanlah natijah yang baik. Ya Allah! Jadikanlah kami orang-orang yang cinta kepadaMu dan orang-orang yang mencintaiMu. Jadikanlah kami membenci mereka yang memusuhiMu. Cucurilah rahmatMu kepada kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih."

0 Comments:

Post a Comment