ADA petanda bahawa sebagai bangsa kita mulai menggelonsor. Bayangkan hampir selama enam dekad merdeka, kita masih terus menjerit sakit. Terakhir, kita mula tidak lagi mengenal sempadan haram halal—bukan soal perjudian saja. Sebelum itu pun, siasahwan kita pernah—malah masih—merongrong Akta Bahasa. Lebih awal lagi, kita berjaya menazakkan tulisan Jawi. Dan, dengan kelulusan lesen judi kini nyatalah kita sedia apa saja, termasuk mencemari ajaran agama.(Tunggu natijah rasminya 26 Jun ini!).

Pendeknya, kita tidak saja tergamak memborosi dana negara (dengan hadiah-hadiahan mewah demi kempen pilihanraya), malah kita seolah menggalakkan manusia dan barangan agar cepat bertanda harga—agar semua mudah dibeli, termasuk para MP.

Kita pernah mencungapkan nafas sekolah agama rakyat dengan dakwaan kononnya di situlah mercupnya tunas pengganas. Malah lebih berdarah—dan sangaat bersejarah—sebelum itu, kuasawan bangsa sendiri juga pernah memacetkan pendakwah Islaminya dengan ratusan peluru selepas mewajahkan mereka sebagai penganut ajaran sesat. (“Masihkah Kau Ingat” peristiwa Memali?)

Dalam aliran peristiwa kacau-bilau itu, seolah tanpa sedar, kita turut galak melahirkan penggayut kuasa dan pengejar harta yang sebahagiannya memang tuli rasa. Malah kita seolah mendorong mereka agar cepat hanyut dan lekas lemas dalam kalutan murni-cemar dan halal-haram masalah asas.

Oleh kocakan peristiwa yang penuh gamam ini, sesetengah kuasawan tetiba menjadi terlalu berkuasa, terkadang ke tahap menyegankan perlembagaan negara. Siapa yang menakik keluhuran kuasa raja, dan siapa pula yang seolah mengongoi kerana rajanya kini kurang dihormati? Bukankah kuasawan yang sama?

Pada aras lain, agihan kekayaan yang sangat bergelombang kini payah diwarasi. Mula terserlah kini yang mendadak kaya adalah di kalangan kuasawan sendiri.

Malah dengan perubahan mendadak sesuatu takrif, khazanah sejarah pun tampaknya hampir terjual—“Masihkah Kau Ingat” nasib bangunan Universiti Malaya? Gambaran calar-balar ini kini tampaknya sangat terkesan pada UMNO (diakui sendiri oleh mantan kuasawan adinya). Kerana parti itu diyakini tidak dapat membela bangsanya, maka sangatlah diperlukan Perkasa dan Gertak, hujahnya. Jadi, UMNO?


Jumaat, 29 Januari 2010 18:02
Ubah hidup rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program Transformasi Kerajaan (PTK) berpandukan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang dilaksanakan secara telus, ikhlas, penuh tanggungjawab serta komitmen yang tinggi.

Ia berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban dan kerajaan tidak akan berhenti daripada melakukan perubahan ini selagi rakyat tidak merasai, menyentuh dan mengalaminya sendiri.

• Enam NKRA itu ialah meluaskan akses pendidikan berkualiti. Mengurangkan kadar jenayah. Memerangi rasuah. Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah. Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman. Menambah baik pengangkutan awam.

Sumber: Utusan Malaysia 29/01/10

Ubah Hidup Rakyat! Dengan Asas Apa?

Pelbagai janji dilontarkan oleh kerajaan kepada rakyat untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan begitu prihatin kepada usaha untuk meningkatkan kehidupan rakyat. Persoalannya ialah apakah asas yang akan digunakan untuk mengubah hidup rakyat? Apakah kita akan dapat meletakkan harapan yang tinggi kepada usaha yang dilakukan oleh Najib sekiranya asas yang digunakan masih tetap sama - masih sekularisme? Bukankah suatu perkara yang tidak bijak jika seseorang itu mengulang-ulang laluan yang sama untuk keluar dari masalah yang dihadapinya tanpa pernah cuba melihat jalan mereka yang telah berjaya. Bagi seorang muslim, siapakah yang paling layak dijadikan contoh? Yang berjaya dalam perjuangannya untuk mengubah seluruh kehidupan manusia? Sudah pasti tidak ada yang lain kecuali Rasulullah SAW. Bagindalah “figure” yang telah terbukti mampu membawa perubahan yang sebenarnya kepada kehidupan masyarakat jahiliyyah. Firman Allah SWT “Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. [TMQ Al-Jumu’ah (62) : 2]. Yang pastinya perubahan yang hakiki itu perlulah bermula dari asas yang benar, iaitu asas Islam. Bersediakah Najib untuk melakukan perubahan yang mendasar ini? Atau apakah beliau hanya sekadar mengubah kulit luaran masyarakat yang sebenarnya tidak akan dapat menjanjikan apa-apa perubahan?

;;