BAKAL Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Hanifah Mohammad @ Pak Abu disarankan meletakkan jawatan sebelum dilantik ke jawatan tertinggi SPRM pada 1 Januari 2010 sekiranya ‘membudayakan’ sindrom menutup kes rasuah yang melibatkan VIP, sebagaimana yang dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Panglima Ahmad Said Hamdan @ Tok Mat.

Ketua Cawangan UMNO Kampung Tampi-Tampi Darat, Semporna, Azizul Sanarul dan Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Tungku, Kunsul Nahul membuat saranan demikian secara serentak setelah Panel Aduan SPRM menyerahkan aduan mereka berhubung tiga kes berskala besar yang dilaporkan kepada panel berkenaan pada 15 Oktober 2009 kepada Jawatankuasa Penilaian dan Operasi.

“Kami mengalu-alukan perlantikan Pak Abu sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, tetapi kami mendesak agar beliau segera mengarahkan kes siasatan yang tertunggak berikut penukaran serta merta Pengarah SPRM Sabah, Puan Latifah Md Yatim bagi menutup kes berprofail tinggi yang sedang disiasat SPRM,” ujar Azizul yang masih merujuk kepada tiga kes utama yang mereka laporkan.

Salah satu daripada kes berprofail tinggi kata Azizul ialah kes Mantan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Musbah Jamli yang telah lengkap disiasat ketika Latifah menjadi Pengarah SPRM Sabah.

“Kita tidak tahu kedudukan kes berkenaan. Kita hanya dengar ianya ditutup begitu sahaja kerana melibatkan Wakil Rakyat UMNO. Kononnya akan disiasat melalui badan yang akan dilantik khas untuk menyiasat kes rasuah wakil rakyat. Tapi sampai bila?.” tanya Azizul yang jengkel dengan jawapan kurang matang SPRM berhubung laporan rasmi beliau terhadap Musbah.

Manakala Kunsul Nahul pula berkata, Pak Abu harus menukarkan semua Pengarah SPRM negeri termasuk Sabah yang terlalu lembab dan kurang produktif bagi memulihkan imej SPRM yang mudah luntur bagaikan baju warna terkena klorox.

“Jika mereka pula menyalahguna kuasa dan budibicara mereka berunding dengan saspek untuk menutup kes, maka Pak Abu tidak harus menerima perlantikan tersebut, melainkan beliau mempunyai iltizam untuk menggilap semula imej SPRM yang begitu malap sejak akhir-akhir ini, terutama selepas kes Teoh Beng Hock,” jelas Kunsul yang menyifatkan kes berkenaan menghakis keyakinan orang ramai terhadap SPRM.

Kunsul menegaskan, Skandal Rasuah Musbah Jamli bukan lagi rahsia di Sabah, malah hampir keseluruhan rakyat Sabah tahu bahawa Musbah terlibat dengan rasuah ketika menjadi Pengerusi Supernesa, sebuah GLC Kerajaan; ketika menjadi Ketua UMNO Bahagian Kota Belud dan kini sebagai Pembantu Menteri.

“Jika semua bukti yang telah dikumpulkan hanya dijadikan warga Tong Sampah, ada baiknya SPRM Sabah dibubarkan kerana kewujudannya di Sabah tidak memberi sebarang makna, malah semakin menggalakkan rasuah kerana pelaku lepas bebas tanpa sekatan pihak berkuasa,” ujar Kunsul lagi.

Kunsul turut mendesak SPRM menjalankan siasatan subsidi penanaman padi dan subsidi susu yang dipercayai melibatkan Musbah dan beberapa kroni beliau. Kunsul berjanji akan memberi kerjasama kepada SPRM jika benar-benar ingin menyiasat dan mendakwa Musbah.

Untuk rekod, Musbah pernah digugurkan daripada senarai calon UMNO pada 2004 apabila Mantan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Syukri Abdull kerana terlibat dengan rasuah dan mempunyai kes yang masih dalam siasatan, namun terlepas saringan ketika Latifah Md Yatim menjadi Pengarah SPRM Sabah.

petikan dari sabahkini.net

0 Comments:

Post a Comment