KEADILAN POLITIK

Keadilan politik yang ditegakkan oleh Islam adalah perkara khilafah dan amanah yang diwajibkan oleh Allah keatas hamba-Nya yang tidak boleh diasingkan daripada perkara hukum Allah yang Maha Adil. Negara yang ditegakkan oleh politik Islam adalah negara yang ditegakkan di atas akidah dan syariahnya.Mereka yang terlibat secara langsung dalam politik Islam samada sebelum memerintah atau selepasnya tidak boleh menganggap bahawa politik adalah peluang untuk mendapat kuasa dan kesempatan untuk melakukan apa sahaja secara sewenang-wenangnya untuk menjadikan rakyat laksana hambanya, dan harta negara sebagai miliknya. Politik adalah amanah Allah yang sangat besar, sehingga tidak tertanggung oleh langit, bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang, kecuali mereka yang diberi kekuatan kerana berpegang teguh dengan ajaran Allah yang ditegakkan dalam dirinya dan masyarakat yang dipimpinnya. Fadhilatnya sangat besar dan kecelakaan kerana mengkhianatinya juga sangat besar di dunia dan akhirat. Firman Allah yang maksudnya :

“Sesungguhnya Kami pernah membentangkan amanah kepada langit, bumi, bukit-bukau, gunung-ganang, lalu mereka tidak bersedia untuk memikulnya dan merasa terlalu berat, dan manusia sedia untuk memikulnya, sesungguhnya ia sangat zalim lagi sangat jahil”
(Surah Al-Ahzab : 72)

Adapun mereka yang zalim itu ialah golongan yang tidak melaksanakan janji untuk menegakkan perintah Allah dan menunaikannya. Firman Allah lagi yang maksudnya :

“Tidak termasuk dalam janji-Ku ini orang-orang yang zalim”
(Surah Al-Baqarah : 124)

Adalah terlalu mudah berlakunya penyelewengan politik seperti politik wang dan mengikut selera nafsu apabila politik itu dipisahkan daripada tanggungjawab terhadap Allah. Bila ia terpisah daripada agama atau agama dianggap perkara sampingan daripadanya seperti dalam ajaran sekularisme sekarang, maka politik menjadi barangan lelong yang diperniagakan, dan dianggap peluang pekerjaan yang paling tinggi jawatannya. Ini membawa kepada perebutan dan mempertahankan kedudukan yang menyebabkan berlaku kezaliman kepada manusia. Orang yang mendapat kuasa politik akan berlagak sebagai tuhan dan mereka yang mahu mendapat peluangnya pula terlalu bernafsu yang berlaku di sepanjang sejarah penyelewengan sejak zaman silam.

Islam mewajibkan kepada mereka yang memegang tampuk pemerintahan berpaut dengan ikatan kewajipan agama dalam segala tindakan peribadi dan masyarakat kerana ini akan dibicarakan di mahkamah Allah. Firman Allah yang maksudnya :

“Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kuasa memerintah di bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran dan bagi Allah sahaja akibat segala urusan”.

Negara kita sekarang dikuasai oleh golongan politik yang mengadakan hubungan sekali-sekala dengan Allah apabila bersembahyang dan mengerjakan haji sahaja mereka memisahkan kegiatan duniawi mereka dengan Allah subhanahu wataala. Keadilan dan hak ditentukan mengikut akal fikiran mereka. Golongan umara’ dipersenda-sendakan, ahli akademik dikongkong, badan kehakiman diganggu dan pegawai tadbir dirobotkan.


1 Comment:

  1. Orang Kuat Kg Lilud said...
    salam,

    bila kau balik ke kampung lilud

Post a Comment